Friday, August 20, 2010

Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Kuiz Sehari Selembar Benang Siri 19 (24-28 Ogos 2010)

1. Cetak-cap (tanda huruf)
Ayat=Mesin cetak itu sering rosak kerana telah 10 tahun digunakan.

2. Bercetak-sudah dicap atau dicetak
Ayat=Kad hari raya bercetak kurang mendapat sambutan.

3. Cetakan-apa-apa yang dicetak
Ayat=Cetakan pertama kamus itu mendapat sambutan sangat menggalakkan.

4. Percetakan-tempat atau syarikat mencetak
Ayat=Percetakan majalah Suluh Ilmu terletak di Bangi.

5. Cetak rompak-menghasilkan semula karya orang lain tanpa kebenaran
Ayat=Masalah cetak rompak di negara ini semakin sukar dibendung.

Monday, August 16, 2010

Sehari Selembar Benang

Kuiz Sehari Selembar Benang Menengah Rendah Siri 18 (16-20 Ogos 2010)

1.Celik = terbuka (mata)
Ayat = Semalaman itu matanya celik sahaja,sedikitpun tidak mahu lelap.

2. Celek = buta sebelah (mata)
Ayat = Hakim tidak pernah menyesali nasibnya yang celek kerana setiap yang berlaku pasti
ada hikmahNya.

3. Cetek = tidak dalam
Ayat = Sungai di kampung saya semakin cetek.

4. Celup = tiruan, tidak asli
Ayat = Katty lebih suka memakai barang kemas celup kerana lebih murah.

5. Cemar = tidak bersih
Ayat = Nama ayahnya kini sudah cemar selepas abang ditangkap polis.

Friday, August 6, 2010

Sehari Selembar Benang

Kuiz Sehari Selembar Benang Menengah Rendah Siri 17 (09 Ogos-13 Ogos)

1. Celah: tempat yang renggang (di antara) dua benda
Ayat : Sisa daging terselit di celah giginya.

Celah: sampuk, perkataan (cakap)
Ayat : Ayah pantang benar jika percakapannya dengan ibu kami celah.

Celah: masa terluang (di antara dua pekerjaan)
Ayat : "Saya tidak ada celah untuk pergi ke rumahmu," kata Nurin kepada Zaza.

2. Mencelah: masuk di celah-celah
Ayat : Perempuan itu mencelah di antara kedua-dua orang anaknya yang sedang bertengkar
itu.

3. Mencelah-celah : masuk melalui celah-celah (orang ramai)
Ayat : Intan mencelah-celah di antara penonton itu untuk menyaksikan wajah penyanyi
pujaannya secara dekat.

Friday, July 30, 2010

Sehari Selembar Benang

Kuiz Sehari Selembar Benang Menengah Rendah (2 Ogos-6 Ogos)

1. Cecah-sececah (sekejap, sebentar)
Ayat-Baru sececah, Razi pulang ke rumah.

2. Bercecah-sedikit-sedikit, berdikit-dikit
Ayat-Wangnya dalam tabung disimpan dengan bercecah.

3. Mencecah-menyentuh atau mengenakan sedikit, mencolek
Ayat-Aifa mencecah kuah sebelum memakan sate

4. Mencecahkan-mengenakan sedikit pada
Ayat-Kak long mencecahkan kaki anaknya ke tanah.

5. Tercecah-terkena (tercelup)
Ayat-Adik menjerit apabila tercecah saja kopi panas itu di lidahnya.

Friday, July 23, 2010

Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Kuiz Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah) 26 Julai - 31 Julai 2010

1. Belanja-wang untuk membeli
Contoh : Kerajaan telah banyak mengeluarkan belanja untuk kebajikan rakyat.

2. Berbelanja-membeli barang-barang
Contoh: Hafni sedang berbelanja di jaya Jusco bersama ibunya.

3. Membelanjai-mengeluarkan wang untuk orang lain atau diri sendiri
Contoh: Siapa yang akan membelanjai adiknya jika dia tiada di sini?

4. Belanjawan-butiran ringkas anggaran pendapatan
Contoh: Belanjawan negara akan diumumkan pada bulan September setiap tahun.

5. Perbelanjaan-perihal belanja
Contoh: Perbelanjaan yang semakin meningkat membuatkan ibu semakin berhati-hati ketika
membeli barangan dapur.

Sunday, July 18, 2010

Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Kuiz Sehari Selembar Benang Menengah Rendah Siri 14 (19 Julai-23 Julai 2010)

1.Bela : menuntut balas
Contoh ayat : Hang Jebat menderhaka kepada Sultan Melaka kerana menuntut bela atas
kematian Hang Tuah

2.Membela : melindungi, menyelamatkan
Contoh ayat : Azif berazam untuk membela nasib keluarganya selepas beliau bekerja kelak.

3.Terbela : dapat lindungi, diselamatkan
Contoh ayat :Nasib bangsa Melayu tidak terbela semasa zaman penjajah.

4. Pembela : pemelihara dan penjaga
Contoh ayat : Keluarga kawan saya menjadi pembela itik dan kambing.

5. Pembelaan : perihal membela
Contoh ayat : Si Miskin tetap menderita tanpa pembelaan yang sewajarnya.

Saturday, July 10, 2010

SEHARI SELEMBAR BENANG

Kuiz Sehari Selembar Benang Menengah Rendah Siri 13 (12-16 Julai 2010)

1.Barang : benda
Ayat : Apabila ada barang yang diterima periksa dulu siapa pengirimnya.

2.Sebarang : biasa sahaja, tiada istimewa
Ayat : Gadis itu menerima sebarang undangan walau pun dia daripada golongan atasan.

3. Barangan : benda atau perkhidmatan yang dijual belikan
Ayat : Barangan di pasar raya itu keluaran luar negara.

4. Barangkali : boleh jadi, mungkin
Ayat : Barangkali adik saya telah mengambil pen saya.

5. Kebarangkalian : pengukuran kemungkinan berlakunya sesuatu (perkara, hal)
Ayat : Kebimbangan akan kebarangkalian abang tidak pulang lagi terbukti apabila beliau
meninggal dunia kerana ditembak perompak.

Saturday, July 3, 2010

PERTANDINGAN PEMBANGUNAN KANDUNGAN - LIGA REMAJA KREATIF (LEAGUE OF CRATIVE TEENS) 2010
Kementerian Pelajaran Malaysia dengan usahasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SMM) akan menganjurkan pertandingan:
Tajuk : Pertandingan Pembangunan Kandungan - Liga Remaja Kreatif 2010
Kategori : Semua murid Tingkatan 1-6 (4 orang 1 kumpulan)
Tarikh tutup : 01 Ogos 2010
Tema : JALUR LEBAR UNTUK 1MALAYSIA (berbahasa Malaysia)
Semua murid yang berminat boleh berjumpa Puan Noraini secepat mungkin.

Sehari Selembar Benang

Kuiz Sehari Selembar Benang Menengah Rendah Siri 12 (05-09 Julai 2010)

1. Banyak=bukan sedikit
Ayat - Banyak orang mempunyai cita-cita yang tinggi.

2. Sebanyak=sama banyak
Ayat - "Tidak ada wangku sebanyak itu," jerit Tijah.

3. Banyak-banyak = jumlah yang banyak
Ayat - Pagi-pagi lagi, bibik sudah ke pasar membeli sayur banyak-banyak.

4. Membanyakkan = menambahkan banyak
Ayat - Kerajaan diseru supaya membanyakkan bantuan kepada sekolah-sekolah di kawasan
pedalaman.

5. Kebanyakan = sebahagian besar
Ayat - Kebanyakan penduduk di kawkasan itu hanya bekerja sendiri.

Saturday, June 26, 2010

Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Kuiz Sehari Selembar Benang Siri 11 (28 Jun-2 Julai 2010)

1. Bangkit - berdiri daripada duduk
Ayat - Semua murid bangkit untuk mengucapkan selamat kepada guru.

2. Berbangkit - timbul
Ayat- Perkara berbangkit yang dibincangkan dalam mesyuarat itu telah dicatatkan.

3. Membangkit- mengangkat
Ayat - Pak Kasim membangkit lukah yang pasang untuk menangkap ikan.

4. Membangkitkan - menimbulkan
Ayat - Kata-kata Datuk Maharaja Lela telah membangkitkan semangat perjuangan penduduk.

5.Kebangkitan - kesedaran serta kegiatan yang membawa kemajuan
Ayat-Kebangkitan Islam harus didukung oleh tradisi ilmu yang boleh dimanfaatkan semua
pihak.

Sunday, June 20, 2010

Sehari Selembar Benang Siri 10 (21 Jun-25 Jun)

1. Perkataan - bangun
Maksud - jaga (daripada tidur)
Ayat - Ashraf bangun pada pukul 6.30 pagi setiap hari.

2. Perkataan - membangun
Maksud -berkembang dan meningkat maju
Ayat - Negara-negara yang sedang membangun masih mengharapkan bantuan dari Jepun.

3. Perkataan - membangunkan
Maksud - membina, mendirikan, membuat
Ayat - Penduduk Taman Maju mengutip derma untuk membangunkan surau di kawasan itu.

4. Perkataan - bangunan
Maksud - sesuatu yang dibangunkan (benda seperti rumah, kedai,sekolah)
Ayat - Semua bangunan lama di kawasan itu sedang dicat semula.

5. Perkataan -pembangunan
Maksud - proses membangun (mencapai kemajuan)
Ayat - Pembanguan di kawasan luar bandar akan diteruskan seperti yang telah dirancang.

Friday, May 14, 2010

Sehari Selembar Benang

Siri 9: Menengah Rendah (17 Mei-21 Mei 2010)

1.Baik : memberi faedah apabila menggunakannya
Contoh ayat- Buku ini baik dibaca oleh kanak-kanak.

2.Baik-baik : (pesanan) berjaga-jaga dalam melakukan sesuatu
Contoh ayat - Pandulah baik-baik kerana jalan itu bengkang-bengkok.

3.Sebaik-baiknya: seelok-eloknya
Contoh ayat - Kesempatan mencari wang di sini diambil sebaik-baiknya
oleh orang asing.

4.Berbaik-baik: tidak bermusuhan
Contoh ayat - Pak Hassan sentiasa berbaik-baik dengan semua orang
kampung.

5.Kebaikan: perbuatan baik
Contoh ayat - Setiap kebaikan yang kita buat pasti akan diberi ganjaran
olehNya.

Saturday, May 8, 2010

Program Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Siri 8 (10 Mei-14 Mei 2010)

1.Badai
Maksud-angin ribut, taufan
Contoh ayat-Badai yang melanda semalam telah memusnahkan lapan buah rumah di kawasan
itu.

2.Badan
Maksud-tubuh,jasad
Contoh ayat-Badan Raju lebam-lebam kerana didera oleh bapa tirinya.

3.Badik
Maksud-pisau kecil yang guna sebagai senjata
Contoh ayat-Peragut itu menikam mangsanya menggunakan badik yang disembunyikan di
dalam poketnya.

4.Badut
Maksud-pelawak dalam sarkas
Contoh ayat-Hidung palsu yang dipakai oleh badut itu telah terjatuh ke dalam longkang.

5.Bagai
Maksud-jenis,macam
Contoh ayat-Beberapa bagai lukisan dipamerkan di situ.

Sunday, May 2, 2010

Program Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Siri 7 (3 Mei -7 Mei 2010)

1.Baca
Maksud-membaca (melihat atau menyebut sesuatu yang tertulis atau dicetak)
Ayat - Baca akhbar, majalah atau buku naik untuk menambah pengetahuan.

2. Bacaan
Maksud-bahan untuk dibaca
Ayat-Bahan bacaan dalam perpustakaan itu tersusun kemas.

3.Membaca
Maksud-membacakan untuk
Ayat-Sarah selalu membacakan anaknya buku cerita sebelum tidur.

4.Terbaca
Maksud-membaca secara kebetulan
Ayat-Myra pernah terbaca kisah UFO yang telah mendarat di Soviet.

5. Pembaca
Maksud-orang yang membaca
Pembaca bertuah majalah Dewab Sastera akan berpeluang memenangi sebuah kamus.

Friday, April 23, 2010

Program Sehari Selembar Benang

Siri 6 (Menengah Rendah) 26 April-30 April 2010

1. Arah - hala,jurusan
Ayat: Papan tanda telah dipasang untuk menunjukkan hala ke rumah pengantin.

2. Searah - sehaluan, sama arahnya
Ayat: Pasangan itu sentiasa bahagia kerana sering searah dalam banyak perkara.

3. Mengarah - menghadap ke sesuatu arah
Ayat: Pintu kota itu mengarah ke sebelah barat.

4. Terarah - terhala, dimaksudkan
Ayat: Kata-katanya itu terarah kepada lawannya.

5. Pengarah - orang yang bekerja sebagai pengarah (filem)
Ayat: Pengarah muda itu telah berjaya memenangi banyak anugerah.

Monday, April 19, 2010

PEMENTASAN TEATER

JEMPUTAN MENYAKSIKAN MAK YONG, BANGSAWAN, WAYANG KULIT DAN MEK MULONG
(Anjuran : Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan)
Tarikh : 23 April 2010-24 Mei 2010
Tempat :Panggung Eksperimen Aswara
Tiket : RM 5/RM8 (pelajar), RM10 (dewasa)
Semua yang berminat boleh berjumpa Puan Noraini atau menghubungi Puan Royah di talian 03-26975046

Sunday, April 18, 2010

Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Siri 5 - 19 April-23 April 2010

1.Aktif- giat (berusaha), cergas
Ayat - Amin sentiasa aktif dalam pertubuhan yang dianggotainya.

2.Aktivis - orang yang terlibat dalam sesuatu kegiatan secara aktif
Ayat - Tokoh yang menjadi aktivis gerakan kemerdekaan itu telah ditangkap.

3.Aktiviti - kegiatan
Ayat - Semua murid mesti menyertai aktiviti kokurikulum.

4.Aktor - pelakon lelaki
Ayat - Aktor kacak itu telah memenangi hadiah percutian ke Dubai.

5.Aktres - pelakon wanita
Ayat - Kemunculan aktres yang jelita itu mendapat sambutan yang hangat.

Saturday, April 10, 2010

PROGRAM SEHARI SELEMBAR BENANG (MENENGAH RENDAH)

Siri 4 (12 April-16 April 2010)

1.Akan
Maksud - menyatakan sesuatu kemungkinan
Contoh ayat - Perdana Menteri akan tiba pada pukul 11 pagi nanti.

2.Akan-akan
Maksud - mirip benar (rupa,sifat)
Contoh ayat - Wajahnya akan-akan wajah Micheal Jackson.

3.Seakan-akan
Maksud - sama benar, seolah-olah
Contoh ayat-Pemilihan pengerusi itu seakan-akan pemilihan presiden suatu
negeri.

4.Akademi
Maksud - sekolah (pusat pengajian) yang mengajar sesuatu pengetahuan
Contoh ayat - Calon-calon yang ingin belajar di akademi penerbangan itu
mesti lulus ujian kesihatan.

5.Akademik
Maksud - bersifat ilmu pengetahuan atau ilmiah
Contoh ayat - Lazimnya rancngan bercorak akademik kurang mendapat
sambutan.






Saturday, April 3, 2010

Program Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Siri 3 - 5 April hingga 9 April 2010

1.Adil-tidak menyebelahi mana-mana pihak
Contoh ayat:Seseorang hakim mestilah adil dalam membuat keputusan.

2.Keadilan - sifat (perbuatan,tindakan) yang adil
Contoh ayat:Kerajaan berusaha menciptakan keadilan masyarakat negara ini.

3.Pengadilan - mahkamah, majlis (yang mengadili)
Contoh ayat:Tertuduh akan dihadapkan ke pengadilan.

4.Mengadili - memeriksa dan menghukum orang dengan adil
Contoh ayat:Hakim Besar Mahkamah Tinggi sendiri akan mengadili kes pembunuhan itu.

5.Pengadil - orang yang mengadili pertandingan atau perlawanan
Contoh ayat :Pengadil perlawanan itu telah diserang oleh penyokong Kedah.

Sunday, March 28, 2010

Program Sehari Selembar Benang

SEHARI SELEMBAR BENANG (MENENGAH RENDAH)



SIRI 2 (29 MAC - 4 APRIL 2010)







1. Abadi




- Maksud : permulaan yang tiada pengakhiran.




- Contoh ayat : Kehidupan akhirat adakah kehidupan yang abadi.









2. Mengabadikan




- Maksud : menjadi peringatan




- Contoh ayat : Sebuah tugu untuk mengabadikan jasa askar-askar yang terkorban akan



didirikan di Seremban.









3.Terabadi




- Maksud : dapat diabadikan (dikekalkan)




- Contoh ayat : Arifin Said boleh berbangga kerana dengan usahanya itu terabadi



cerita-cerita rakyat.









4. Keabadian




- Maksud : kewujudan yang kekal, (kekekalan)




- Contoh ayat : Keabadian kasih sayang seorang ibu semangnya tidak boleh dipertikai.









5. Pengabadian




- Maksud : pengekalan, perihal mengabadikan




- Contoh ayat : Rumah itu dibina khusus sebagai lambang pengabadian cinta Tuan Shahril



kepada isterinya.




Saturday, March 27, 2010

TEATER

TAWARAN HARGA MENARIK UNTUK PELAJAR
Kementerian Penerangan, Komonunikasi dan Kebudayaan Malaysia akan menganjurkan pementasan teater seperti berikut;
PEMENTASAN : TEATER MUZIKAL TERATAK MINANG
TARIKH : 16-18 APRIL 2010
TEMPAT : PANGGUNG SARI,ISTANA BUDAYA
MASA : 8.30 MALAM
HARGA TIKET : RM 11.50 (30 orang sahaja dan ke atas)
Sesiapa yang berminat boleh berhubung dengan Puan Noraini sebelum 13 April 2010

Monday, March 22, 2010

Program Sehari Selembar Benang (Menengah Rendah)

Siri 1(22 Mac hingga 26 Mac 2010)

Perkataan

i) Am
Maksud:
tidak terbatas atau khusus kepada orang, golongan atau bidang tertentu.

Contoh ayat:
Pengetahuan am murid tentang sesuatu perkara masih kurang kerana mereka kurang membaca.

ii) Amah
Maksud:
orang gaji.

Contoh ayat:
Amah yang bekerja di rumah saya berasal dari Medan, Indonesia.


iii) Amal
Maksud:
perbuatan baik.

Contoh ayat:
Membantu orang merupakan amal yang dituntut oleh semua agama.

iv) Aman

Maksud:bebas daripada keadaan kacau-bilau.

Contoh ayat:
Rakyat Malaysia beruntung kerana dapat hidup dalam situasi yang aman.

v) Amat

Maksud:sangat.

Contoh ayat:
Cikgu Rajan amat marah akan murid yang
menconteng dinding tandas.






Wednesday, March 10, 2010

Karangan Contoh

Tulislah suatu karangan berdasarkan ungkapan “Ilmu pelita hidup”.

“Ilmu pelita hidup”. Kita mestilah menghayati ungkapan ini dan mendapatkan ilham untuk belajar bersungguh-sungguh. Amalan membaca memberi manusia pengetahuan yang mendalam. Sejak zaman kanak-kanak lagi, minat membaca sewajarnya kita pupuk untuk menyuntikkan semangat cinta akan bahan bacaan.

Kita perlulah menyemaikan amalan membaca untuk membolehkan kita meluaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Sekiranya kita jarang mengamalkan budaya membaca, maka kita akan ketinggalan dalam buana ilmu dan kemahiran.

Barangkali, kita akan diperli atau diketawakan oleh kawan-kawan sehingga diri kita dianggap sebagai katak di bawah tempurung.

Hal ini akan mempengaruhi dunia kehidupan kita dan seterusnya akan menjejaskan masa depan kita.Sebenarnya, dunia ilmu amat penting kepada pelbagai lapisan rakyat dalam sesebuah negara. Ilmu dapat membantu pelajar semasa menghadapi dunia peperiksaan. Bagi orang dewasa pula, ilmu membolehkan mereka menguasai kemahiran dan keperluan tugas masing-masing dengan mudah dan berkesan.

Oleh itu, kita haruslah senantiasa membaca pada setiap masa agar masa depan kita terjamin bak kata slogan, yakni bangsa membaca, bangsa berjaya.

Dewasa ini, masyarakat moden kian giat memburu dunia kerjaya yang menawarkan sumber pendapatan yang lumayan. Oleh sebab itu, sebagai pesaing yang berpotensi di dunia yang serba mencabar ini, kita perlu menimba ilmu melalui bahan bacaan yang bermutu dan bermanfaat.

Dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran, maka kita lebih mudah untuk memperoleh kerjaya yang membanggakan.Kita dapat mengisi masa lapang dengan membaca surat khabar, makalah atau majalah yang bermutu dan berfaedah. Usaha yang baik ini membolehkan kita menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam kegitan samseng jalanan dan sebagainya.

Masa lapang perlu kita isi dengan bahan-bahan bacaan ringan atau bahan yang bersifat ilmiah untuk membantu proses pembelajaran dan pengajaran sama ada di dalam bilik darjah atau di luar sekolah.Sesungguhnya, ilmu yang kita peroleh melalui bahan bacaan umpama pelita hidup yang bakal menerangi dunia kerjaya dan kehidupan kita di alam sarwajagat yang serba canggih dan mencabar ini. Bacalah kita untuk memperoleh ilmu kerana ilmu pelita hidup.

Disediakan: Leong Siew Hua, Tingkatan 3H, SMK Katholik, 35900 Tg. Malim.
Sumber: http://chaimestm.blogspot.com/


Isu gengsterisme kian menular di sekolah dan telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Sebagai pelajar prihatin, cadangkan usaha-usaha untuk menangani gejala gengsterisme di sekolah.Gejala gengsterisme berleluasa dan kian menular di sekolah.

Isu gengsterisme ini telah menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat dan negara kita. Menurut Kamus Dewan, gengsterisme bermaksud kegiatan samseng dalam kalangan samseng. Memandangkan gejala ini bertambah serius, pihak sekolah dengan kerjasama ibu bapa telah memikirkan usaha-usaha untuk menangani masalah tersebut.Salah satu langkah untuk membanteras gejala gengsterisme ini ialah pihak sekolah hendaklah memperketat usaha pemantauan dan penguatkuasaan peraturan sekolah.

Guru sekolah haruslah mendapat kerjasama polis untuk mencegah masalah ini. Jika didapati ada murid yang terlibat dalam kes tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman yang setimpal.Pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala gengsterisme. Pada masa ini, murid-murid kurang mementingkan pendidikan yang tidak diambil kira dalam peperiksaan.

Antaranya ialah Pendidikan Moral, Sivik, Pendidikan Agama dan sebagainya. Guru-guru dan ibu bapa perlu banyak menyalurkan ilmu dan nilai murni dalam pendidikan kepada anak-anak didik. Disiplin ilmu yang diberikan akan membolehkan mereka lebih memahami keburukan gejala gengsterisme dan menjauhkan diri daripada aktiviti negatif tersebut.

Selain itu, pihak sekolah juga patut mengadakan kempen kesedaran, kempen motivasi dan pelbagai program. Maklumat yang terperinci tentang keburukan gejala gengsterisme hendaklah dibincangkan dalam kempen ini.

Oleh hal yang demikian, kesedaran dapat dipupuk dalam kalangan murid dan mengalakkan diri mereka supaya tidak terbabit dalam gejala ini.Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Kesungguhan dan kerjasama yang erat daripada pihak berkuasa, ibu bapa dan masyarakat amat memerlukan untuk menangani masalah gejala gengsterisme di negara kita.

Disediakan oleh,Cheong Chin Ying, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim.
http://chaimestm.blogspot.com/

Monday, March 1, 2010

KUIZ 2 - SEHARI SELEMBAR BENANG

Beri makna perkataan berikut dan tulis ayat

i)Agah

ii)Agihan

iii)Pengabdian

iv)Baran

v)Cuak

Selamat Menjawab

Friday, February 5, 2010

KUIZ 1 - SEHARI SELEMBAR BENANG

Berikan maksud perkataan berikut dan kemudian tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan tersebut untuk menunjukkan anda faham akan maksud dan penggunaananya.Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

i)ada

ii)abdi

iii)aneh

iv)cantas

v)pangkas

************** SELAMAT MENCUBA *******************

Monday, January 25, 2010

LAGU BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa
Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara Megahkan Bahasa
Kita Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

Sunday, January 24, 2010

Program Sehari Selembar Benang Siri 1

i) Buta

Maksud
Tidak boleh melihat

Contoh Ayat
Orang buta itu boleh melintas jalan tanpa dibantu oleh sesiapa.

ii) Membuta

Maksud
Tidur

Contoh Ayat
Abang sudah membuta waktu saya pulang malam tadi.

iii) Buta huruf

Maksud
Tidak boleh membaca atau menulis

Contoh Ayat
Kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk membasmi buta huruf dalam kalangan murid di negara ini.

Terima Kasih Daun Keladi....

Terima Kasih Daun Keladi….

Panitia Bahasa Melayu SMK Bandar Puchong Jaya A mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Abdul Ghalib ( Munsyi Dewan ) kerana secara peribadi menyumbangkan buku-buku kerja dan rujukan kepada guru-guru bahasa Melayu.

Sekalung Penghargaan



Guru-guru bahasa Melayu SMK Bandar Puchong Jaya A merakamkan sekalung penghargaan atas sumbangan dan khidmat En. Mohd Noh Marzuki, bekas PK HEM sekolah yang berpindah ke SMK Seksyen 7, Shah Alam.


Dari mana hendak ke mana

Tinggi ruput dari padi

Tahun mana bulan mana

Dapat kita berjumpa lagi?



Tuesday, January 19, 2010

Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri Sempena

Program Penghayatan 1 Malaysia.

Dijemput semua murid SMKBPJ(A) menyertai pertandingan tersebut. Sesiapa yang berminat sila dapatkan borang dan syarat-syarat pertandingan daripada Puan Noraini atau guru bahasa Melayu masing-masing.

Tarikh tutup pertandingan pada 19 Februari 2010

Sunday, January 17, 2010

Latihan Dalam Perkhidmatan Guru-guru BM SMKBPJA




Pada 16hb Januari yang lalu, Panitia Bahasa Melayu SMKBPJA berbesar hati kerana En. Abd Ghlib sudi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam kursus ringkas ini.