Wednesday, March 10, 2010

Karangan Contoh

Tulislah suatu karangan berdasarkan ungkapan “Ilmu pelita hidup”.

“Ilmu pelita hidup”. Kita mestilah menghayati ungkapan ini dan mendapatkan ilham untuk belajar bersungguh-sungguh. Amalan membaca memberi manusia pengetahuan yang mendalam. Sejak zaman kanak-kanak lagi, minat membaca sewajarnya kita pupuk untuk menyuntikkan semangat cinta akan bahan bacaan.

Kita perlulah menyemaikan amalan membaca untuk membolehkan kita meluaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Sekiranya kita jarang mengamalkan budaya membaca, maka kita akan ketinggalan dalam buana ilmu dan kemahiran.

Barangkali, kita akan diperli atau diketawakan oleh kawan-kawan sehingga diri kita dianggap sebagai katak di bawah tempurung.

Hal ini akan mempengaruhi dunia kehidupan kita dan seterusnya akan menjejaskan masa depan kita.Sebenarnya, dunia ilmu amat penting kepada pelbagai lapisan rakyat dalam sesebuah negara. Ilmu dapat membantu pelajar semasa menghadapi dunia peperiksaan. Bagi orang dewasa pula, ilmu membolehkan mereka menguasai kemahiran dan keperluan tugas masing-masing dengan mudah dan berkesan.

Oleh itu, kita haruslah senantiasa membaca pada setiap masa agar masa depan kita terjamin bak kata slogan, yakni bangsa membaca, bangsa berjaya.

Dewasa ini, masyarakat moden kian giat memburu dunia kerjaya yang menawarkan sumber pendapatan yang lumayan. Oleh sebab itu, sebagai pesaing yang berpotensi di dunia yang serba mencabar ini, kita perlu menimba ilmu melalui bahan bacaan yang bermutu dan bermanfaat.

Dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran, maka kita lebih mudah untuk memperoleh kerjaya yang membanggakan.Kita dapat mengisi masa lapang dengan membaca surat khabar, makalah atau majalah yang bermutu dan berfaedah. Usaha yang baik ini membolehkan kita menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti bergentayangan di pusat beli-belah, terlibat dalam kegitan samseng jalanan dan sebagainya.

Masa lapang perlu kita isi dengan bahan-bahan bacaan ringan atau bahan yang bersifat ilmiah untuk membantu proses pembelajaran dan pengajaran sama ada di dalam bilik darjah atau di luar sekolah.Sesungguhnya, ilmu yang kita peroleh melalui bahan bacaan umpama pelita hidup yang bakal menerangi dunia kerjaya dan kehidupan kita di alam sarwajagat yang serba canggih dan mencabar ini. Bacalah kita untuk memperoleh ilmu kerana ilmu pelita hidup.

Disediakan: Leong Siew Hua, Tingkatan 3H, SMK Katholik, 35900 Tg. Malim.
Sumber: http://chaimestm.blogspot.com/


Isu gengsterisme kian menular di sekolah dan telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Sebagai pelajar prihatin, cadangkan usaha-usaha untuk menangani gejala gengsterisme di sekolah.Gejala gengsterisme berleluasa dan kian menular di sekolah.

Isu gengsterisme ini telah menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat dan negara kita. Menurut Kamus Dewan, gengsterisme bermaksud kegiatan samseng dalam kalangan samseng. Memandangkan gejala ini bertambah serius, pihak sekolah dengan kerjasama ibu bapa telah memikirkan usaha-usaha untuk menangani masalah tersebut.Salah satu langkah untuk membanteras gejala gengsterisme ini ialah pihak sekolah hendaklah memperketat usaha pemantauan dan penguatkuasaan peraturan sekolah.

Guru sekolah haruslah mendapat kerjasama polis untuk mencegah masalah ini. Jika didapati ada murid yang terlibat dalam kes tersebut perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman yang setimpal.Pendidikan juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala gengsterisme. Pada masa ini, murid-murid kurang mementingkan pendidikan yang tidak diambil kira dalam peperiksaan.

Antaranya ialah Pendidikan Moral, Sivik, Pendidikan Agama dan sebagainya. Guru-guru dan ibu bapa perlu banyak menyalurkan ilmu dan nilai murni dalam pendidikan kepada anak-anak didik. Disiplin ilmu yang diberikan akan membolehkan mereka lebih memahami keburukan gejala gengsterisme dan menjauhkan diri daripada aktiviti negatif tersebut.

Selain itu, pihak sekolah juga patut mengadakan kempen kesedaran, kempen motivasi dan pelbagai program. Maklumat yang terperinci tentang keburukan gejala gengsterisme hendaklah dibincangkan dalam kempen ini.

Oleh hal yang demikian, kesedaran dapat dipupuk dalam kalangan murid dan mengalakkan diri mereka supaya tidak terbabit dalam gejala ini.Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Kesungguhan dan kerjasama yang erat daripada pihak berkuasa, ibu bapa dan masyarakat amat memerlukan untuk menangani masalah gejala gengsterisme di negara kita.

Disediakan oleh,Cheong Chin Ying, Tingkatan 3 Amanah, SMK Methodist, 35900 Tanjong Malim.
http://chaimestm.blogspot.com/

Monday, March 1, 2010

KUIZ 2 - SEHARI SELEMBAR BENANG

Beri makna perkataan berikut dan tulis ayat

i)Agah

ii)Agihan

iii)Pengabdian

iv)Baran

v)Cuak

Selamat Menjawab

Friday, February 5, 2010

KUIZ 1 - SEHARI SELEMBAR BENANG

Berikan maksud perkataan berikut dan kemudian tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan tersebut untuk menunjukkan anda faham akan maksud dan penggunaananya.Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

i)ada

ii)abdi

iii)aneh

iv)cantas

v)pangkas

************** SELAMAT MENCUBA *******************

Monday, January 25, 2010

LAGU BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa
Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara Megahkan Bahasa
Kita Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

Sunday, January 24, 2010

Program Sehari Selembar Benang Siri 1

i) Buta

Maksud
Tidak boleh melihat

Contoh Ayat
Orang buta itu boleh melintas jalan tanpa dibantu oleh sesiapa.

ii) Membuta

Maksud
Tidur

Contoh Ayat
Abang sudah membuta waktu saya pulang malam tadi.

iii) Buta huruf

Maksud
Tidak boleh membaca atau menulis

Contoh Ayat
Kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk membasmi buta huruf dalam kalangan murid di negara ini.

Terima Kasih Daun Keladi....

Terima Kasih Daun Keladi….

Panitia Bahasa Melayu SMK Bandar Puchong Jaya A mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Abdul Ghalib ( Munsyi Dewan ) kerana secara peribadi menyumbangkan buku-buku kerja dan rujukan kepada guru-guru bahasa Melayu.

Sekalung Penghargaan



Guru-guru bahasa Melayu SMK Bandar Puchong Jaya A merakamkan sekalung penghargaan atas sumbangan dan khidmat En. Mohd Noh Marzuki, bekas PK HEM sekolah yang berpindah ke SMK Seksyen 7, Shah Alam.


Dari mana hendak ke mana

Tinggi ruput dari padi

Tahun mana bulan mana

Dapat kita berjumpa lagi?



Tuesday, January 19, 2010

Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri Sempena

Program Penghayatan 1 Malaysia.

Dijemput semua murid SMKBPJ(A) menyertai pertandingan tersebut. Sesiapa yang berminat sila dapatkan borang dan syarat-syarat pertandingan daripada Puan Noraini atau guru bahasa Melayu masing-masing.

Tarikh tutup pertandingan pada 19 Februari 2010

Sunday, January 17, 2010

Latihan Dalam Perkhidmatan Guru-guru BM SMKBPJA




Pada 16hb Januari yang lalu, Panitia Bahasa Melayu SMKBPJA berbesar hati kerana En. Abd Ghlib sudi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam kursus ringkas ini.